Terima kenyataan..

Memang benar ungkapan hidup ibarat roda. Fitrah manusia dari alam roh ke alam nyata. Seorang bayi akan membesar dewasa, menginjak tua dan seterusnya kembali menjadi bayi. Menunggu saat kembali ke alam roh. Terima kenyataan itu jika Allah memberi bonus usia. Allah menguji setiap manusia itu mengikut kemampuan. Abah emak diberi sakit supaya anak anak mendapat ujian. Ujian itu memacu manusia ke arah kematangan. Perhatian anak itu wajib dikala mereka mula merasa usia sudah hampir usai. Habuan bukan satu pembalasan, tanggungjawap adalah segala galanya.  Apa yang aku lihat,  ku alami akan menjadi sejarah teladan buat pedoman. Hidup ini mesti diteruskan. Wallahu’alam.

 

Kenangan 21 hari..

Sudut ruang tamu ini adalah tempat abah bersolat sambil duduk. Baring, makan, minum dan segalanya. Baju putih Western kotak kotak tu berjenama Wrangler. Mak cakap abah beli masa duduk Batu Arang dulu kat kedai bundle. Baju ni abah mintak nak pakai 5 hari lepas sebab cuaca amat sejuk kebelakangan ini. Baju ni dok ada tersimpan dalam almari rumah sejak hampir 2 tahun lalu. Masa tu ada 2 guni baju pakaian abah dan mak tersimpan di rumahku sejak berpindah dari Batu Arang. Abah ku bawa ke sini 3 minggu lepas selepas mendapat rawatan radioterapi selama 5 hari berturut turut di Jabatan Onkolgi, HKL. Tubuh tua berusia 72 tahun itu sememangnya tidak dapat menahan pancaran sinaran berkuasa tinggi centigray. Hari pertama abah sampai di sini aku seakan takjub menyaksikan abah mendaki tangga rumah dengan sekali jalan. Beberapa kali aku menyatakan ketika itu semangat abah sangat kuat dan jitu tetapi abah mengatakan itu semua adalah hasil usaha aku. Abah agak ceria permulaannya, tetapi 3 hari selepas itu abah mula menjadi lemah dan hilang selera makan. Hari hari seterusnya ku lihat keadaan abah semakin lemah membuat hati ini sebak sentiasa. 3 minggu kunjungan kali ini tidak sama seperti saat saat ketika abah dan emak sihat dulu, dulu segala galanya ceria dan meriah. 3 minggu kali ini amat sepi kerana abah hanya terbaring tanpa dapat berbuat apa apa manakala emak pula sendirian melayani perasaan. Ku tahan kesedihan ini dengan sekuat hati tanpa ku luahkan walaupun ia meronta ronta. Setiap pagi, tengahari, petang dan malam aku akan bertanya keperluan abah. Hati gembira bila abah inginkan sesuatu, tetapi hati ini remuk apabila abah hanya menggeleng kepala tidak mampu berkata kata. Aku percaya ketika ini abah terlalu banyak memikir dan ditambah dengan kesakitan yang dialami. Tak tertatap wajah sakit abah dan mak, hanya kesedihan menyelubungi hati ini. Ku terima ketentuan Allah S.W.T ini seadanya dan redha saja kerana semua ini telah tertulis. Hidup mesti diteruskan walau sebesar mana kesedihan itu kerana sekurang kurangnya aku dapat jua menabur bakti yang tak seberapa ketika ini, ketika keadaan abah begini dan emak pula begitu. Ya Allah ya Tuhanku, Kau yang Maha Pengasih dan Penyayang, berilah kepada emak dan abah ku kesihatan yang baik dan kasihanilah mereka sepertimana mereka mengasihani aku ketika kecil dulu. Amin.

 

16 September..

 

Lama sungguh tidak menulis. Tangan terasa gatal tetapi keinginan tidak ada. Begitu payah untuk memulakan semula bait bait cerita, tetapi idea tiada menjelma. Bila idea menerpa, masa pula mencemburui. Laptop sudah lama tidak ku pegang. Pc sudah berbulan tidakku buka. Yang ada kini sebuah tablet yang begitu mudah untuk digodek sepanjang masa tak kira tempat. Pengaruh facebook telah membataskan nafsuku terhadap kerajinan menulis blog. Kecintaan pada blog sedikit demi sedikit pudar. Ku lihat ramai teman blogger menoktahkan blog masing masing kerana facebook. Sebagaimana dulu kami meninggalkan dunia forum berhijrah ke halaman blog. Oh Tuhan berilah aku kekuatan untuk menulis semula. Tarikh 16 September 2011 genap 20 tahun aku mendambakan diri dengan syarikat tempat aku mencari rezeki. Apa yang aku tulis ni eh??

Bertukar !!

 

Kalau dah rezeki takkan ke mana..ungkapan ini aku pegang sejak 3 tahun dulu,  namun 3 tahun itu agak lama juga ibarat menanti buah yang tak keguguran. Tidak mengharap tetapi jika ada tiada masalah, jika adapon masalah itu boleh ku tolak tepi dahulu bersandarkan percaya setiap rezeki itu datangnya dari Allah. Boleh jika aku menolak, tetapi menimbang keadaan semasa dan harapan tinggi dari orang yang menaruh kepercayaan, tiada sanggup untuk aku menghampakan. Seperti biasa, abah adalah orang yang pertama akan ku serahkan surat ini, sepanjang 20 tahun berkhidmat ini adalah buat kali ke tiga aku mengadap abah dengan surat, tetapi bezanya kali ini tempat dan situasi yang bertukar. Sebenarnya angin telah bertiup sebulan dua yang dulu, timbul cuak di hati jika aku tidak sempat membuat abah bangga tetapi Alhamdulillah rupanya aku masih sempat. Belum pun surat ini hinggap ke tangan abah, abah telah pon menadah tangan berdoa dan bersyukur dengan limpah kurnia Allah di bulan yang penuh mulia seribu bulan. Jelas merah mata abah bergenangan menahan sebak di dalam gembira, aku tahu mungkin sakit abah berkurangan 20 peratus ketika itu. Seminggu sudah berlalu, segala galanya bertukar di tempat kerja, senyum tiada terlekang di bibir ini menerima ucapan tahniah dari segenap tempat terutama kawan kawan yang menyokong selama ini. Terima Kasih kepada semua..

Salam Ramadhan 1432H

Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi kerana aku masih diberi-Nya peluang untuk bertemu Ramadhan Kareem tahun ini walau Ramadhan kali ini tidak sama Ramadhan 30 tahun dulu, Ramadhan 20 tahun dahulu mahupun Ramadhan sepuluh tahun yang lalu. Aku harus menerima hakikat bahawa dedaun masa itu akan tetap berguguran dan zaman akan senantiasa berputar setiap masa. Sedih menyelinap di lubuk hati setelah usai menyempurnakan solat terawih pertama sebentar tadi apabila kenangan Ramadhan lalu kembali mengimbau satu persatu. Ku panjatkan doa agar aku tiada akan kehilangan insan insan tersayang d sekeliling aku dan hendaknya Ramadhan kali ini memberikan sinar harapan Insya Allah hu Akram.

BER-malam lagi @HKL

Di saat nukilan ini ku titip, mataku hampir penuh terjaga, abah asyik gelisah di atas katil sambil penekup oksigen dan pembaca degupan jantung acap kali terlucut. Aku yang asyik memerhati terus membetulkan ia semula. Badanku teramat penat sekali tetapi aku tidak langsung dapat melelapkan mata. Mungkin sebab Red Bull setin telah ku teguk selepas isyak tadi. Sepanjang hari semalam, dari pagi aku keluar bekerja dan sebelah petangnya begegas ke HKL sambil dapat pula menikmati suasana tersangkut di dalam kesesakan teruk di lebuhraya disaat aku mendapat panggilan yang abah sedang kritikal di katil wad hospital. Aku sudah tidak dapat untuk mengeluarkan kata kata ketika di dalam kereta petang tadi melihat bederetan kenderaan sambil terbayang sekatan jalan raya yang sedang berleluasa. Fikiran jauh melayang ke suatu tempat di mana kondisi abah berlegar legar di kotak fikiran. Aku begitu takut jika enpon berbunyi sekali lagi, tetapi di pendek cerita akhirnya setelah 2 jam, takdir Allah aku masih ada peluang, dan peluang itu aku gunakan secukupnya saat dinihari begini. Sejak jam 11 malam tadi, tiada seorang jururawat yang singgah di katil ini, akulah jururawat itu yang setiap minit memantau abah melakukan kerja kerja kejururawatan. Sebenarnya aku cuba juga melepas lelah dan penat, tetapi sia sia, aku bangun dan selama sejam tadi aku dibasuh seorang brader pesakit sebelah katil abah ini kerana disangkakan aku ini seorang yang sombong, tetapi apabila mula berbicara, sungguh brader itu tidak terlayan bicaraku. Pakcik yang sebelah lagi katil sungguh baik hati menghadiahkan susu untuk diberi minum abah yang tiada mampu makan sejak petang. Di saat ini timbul perasaan kagum kerana di hospital yang sama, tetapi wad yang berlainan, aku mendapat pengalaman yang amat berbeza dan berharga kerana berbagai karenah manusia berlegar disaksikan lensa kacamata ini. Mindaku terbuka luas beberapa minggu kebelakangan ini dek memasuki dunia yang sungguh berbeza dengan liku liku kehidupan biasa yang aku tempuhi setelah hampir 40 tahun hidup di dunia . Opsss !!! dripped kat tangan abah terbuka, darah memancut keluar, lencun kain hijau dibasahi dengan darah abah, aku kena settlekan benda ni kerana tiada jururawat yang mampir….

02:33hrs~Katil 23~Wad 27~Tingkat 5~HKL.

Malam masih muda..

Sejak empat hari lalu hidupku hanya sedikit di rumah dan selebihnya di sekitar Hospital Kuala Lumpur. Setelah mamai 30 jam seminggu yang lepas, kali ini mamai itu berlipat kali ganda berjam jam tak terkira. Putaran kehidupan selesa sudah berubah dan aku tidak tahu apa akan terjadi selepas ini dan aku mesti tabah menghadapi ujian Allah kali ini di mana setiap insan harus juga menempuhinya. Saat aku menulis entry ini, abah terlantar di sebelah sedang cuba melelap mata kepenatan kerana di waktu siang tadi, bertali arus sanak saudara datang menziarahi abah. Di pandangan ku sekarang hanya berbaris katil dengan setiap seorang pesakit, jururawat cun yang lalu lalang bekerja shift malam, doktor bertugas yang memeriksa seorang demi seorang pesakit, kipas yang berputar laju, langsir kaler pink yang meliuk lentuk dikilas angin. Sebentar tadi dua orang pesakit di wad ini telah pon di usung pergi meninggalkan dunia ini selama lamanya. Aku masih di sini sejak tengahari tadi dan akan tetap di sini sehingga pagi nanti dengan harapan ada sesiapa yang dapat menggantikan aku….

00:09am~Katil 47~Wad 18~Tingkat 4~HKL.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

« Newer Entries - Older Entries »