Terima Kasih cikgu Hidayat

Cikgu mula ku kenal apabila muncul di ruangan Wall FB BapakkuFM beberapa bulan lepas ketika aku melayan DJ Isma dalam segmen Kisah Seram setiap malam jumaat di radio internet BapakkuFM dan terus meminta untuk menjadi friend. Sebaik menjadi kawan, perkara pertama yang ku tulis di Wall cikgu “adakah cikgu boleh membuang saka ibu saya? “Aku bertanya soalan sedemikian kerana di dalam Wall cikgu sering kali ditanya soalan berkaitan kebolehan cikgu sebagai pengamal perubatan alternatif. Pada ketika itu aku sedang mengusahakan emak berubat di Seremban dengan seorang pegamal perubatan Islam juga ketika arwah abah sedang terlantar sakit di rumah. Niat ku pada masa itu tak lain hanya inginkan emak lebih berkeupayaan menjaga abah sebagaimana layaknya seorang isteri menjaga seorang suami yang sedang sakit. Sebenarnya pada ketika itu aku tiba tiba digerakkan hati untuk mengetahui apa sebenarnya yang emak deritakan tatkala terpandang wajah sayu emak ketika sibuk bertanyakan kesihatan arwah abah. Sebagai seorang anak, aku tidak sampai hati untuk membiarkan keadaan emak berlanjutan begitu walau pada mata kasar ku lihat emak mampu untuk hidup seperti seorang biasa.

Pertanyaan aku tidak dijawap cikgu pada ketika itu dan pada masa yang sama aku mula meragui keikhlasan orang yang mengubati emak di Seremban. Kebetulan ketika itu juga cikgu mula kerap membuat panggilan ke konti radio, mengulas setiap kisah seram yang diceritakan pendengar setia dalam segmen Kisah Seram kendalian Isma Halil Hamzah. Setiap panggilan cikgu amat dinanti pendengar lalu DJ Isma telah mengisytiharkan cikgu antara 7 perkara ajaib berlaku di dalam radio BapakkuFM. Aku amat tertarik dengan penerangan cikgu berkaitan dunia ghaib dan misteri alam jin, malah cikgu juga sentiasa menyelit bersama dalil Al Quran dan Hadis sehingga memberi dimensi baru dalam usaha mempelajari alam yang lagi satu itu. Pada hemat aku, Allah mengirim cikgu ke pentas radio internet BapakkuFM buat masyarakat zaman ini terutama remaja untuk kembali dekat kepada ajaran Islam sebenar kerana majoriti pendengar kesemuanya anak muda belaka.

Aku memberanikan diri menegur cikgu di ruangan chat di dalam FB dan dari situlah bermula persahabatan secara lebih rapat dan seminggu kemudiannya aku dijemput bertandang ke rumah cikgu. Aku mula bercerita berkaitan dengan masalah emak yang beberapa tahun kebelakangan ini tidak begitu stabil dari segi fizikal dan emosi dan bercerita sedikit keadaan arwah abah. Aku juga bercerita tentang sessi rawatan yang telah emak lalui di Seremban dan cikgu sebenarnya sedikit kecewa dengan kaedah perubatan sesetengah pengamal perubatan dewasa ini dan memberi pandangan apa yang sudah diusahakan itu kalaupun tiada berhasil, biarlah dianggap sebagai kifarah sahaja buat diri kita. Nasihat cikgu lagi, lazimnya kita akan sentiasa diuji Allah biarpun apa yang diusahakan itu untuk kebaikan ibu dan bapa kita sendiri.

Seminggu kemudian abah pergi menyahut panggilan Illahi dan cikgu adalah antara orang pertama yang muncul di tanah perkuburan dan ikut serta membantu mengkebumikan arwah abah. Dua minggu kemudian aku bawa pula emak berjumpa dengan cikgu dan sessi yang cikgu laksanakan hanya bersembang santai persis seorang ibu dan anak malah pada dasar pandangan cikgu, tiada saka yang bermastautin di dalam diri emak. Secara ringkas kata cikgu lagi, emak sebelum ini seorang yang sangat kuat beramal dengan amalan rutin harian dan amalan tambahan yang dilakukan seperti melakuan solat dhuha dan membaca Al Quran. Lalu Allah menguji dengan menarik nikmat hambanya buat sementara untuk hambanya itu berfikir dan memahami betapa segala nikmat itu amat besar fadhilatnya bilamana emak sudah kembali pulih suatu hari nanti. Pesan cikgu lagi, tanggungjawap kita pula sebagai seorang anak ketika ini adalah melayan emak dengan baik, menghormati perasaannya, tidak berkasar, sentiasa mendekati emak dan mendengar luahannya semampu mungkin. Kita juga perlu memperbanyakkan doa kepada Allah memohon Ihsan jika ingin melihat emak kembali ceria seperti dulu.

Apapon untuk cikgu Hidayat, jelas cikgu sedang famous sekarang ini kerana BapakkuFM sedang didengari di seluruh pelusuk dunia, pon begitu cikgu ku kenal sebagai seorang yang sangat merendah diri dan aku merasa bangga kerana aku diantara pendengar BapakkuFm terawal mengunjungi cikgu di teratak indah cikgu di Batu Caves. Terima kasih sekali lagi atas sumbangan cikgu buat aku dan emak dan tidak ketinggalan sumbangan cikgu kepada masyarakat di dalam memberi penerangan dan penjelasan yang betul berkaitan dunia ghaib ketika mana dunia ini semakin hampir menemui noktahnya. Secara tak langsung, aku faham kini bahawa apabila kita semakin mengenali alam ghaib justeru semakin kita ini kembali mendekatkan diri dan hampir kepada Allah S.W.T.Wallah’ualam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...