Misteri apekah..?

PIC090819132201

Ini kediaman mak dan abah di Batu Arang, Selangor. Imej dirakam 2 bulan lepas ketika kerja kerja meroboh pondok asal di belakang rumah dan menebang pokok jambu air di depan rumah berlangsung. Emak masih dalam keadaan tidak berapa sihat sejak 10 bulan yang lalu dan semalam aku mendapat SMS berupa pesanan dari abah supaya ditulis di dalam blog tentang proses ‘memagar’ rumah ini pada jam 6:45 petang yang dilakukan Ustaz Bakar, kenalan abang aku. Kalimah Allah dibacakan ke atas barang barang seperti garam, limau , beras , kunyit dan lain lain yang mungkin ditabur abah sekeliling rumah. Kami sekeluarga telah mengusahakan pelbagai rawatan tradisional dan moden untuk cuba merawat masalah kesihatan mak yang berpanjangan tanpa kesudahan. Mak mengalami masalah tidak boleh melelapkan mata pada waktu malam, begitu juga di waktu siang. Waktu tidur mak telah terganggu dan acap kali tidak mendapat tidur yang cukup dalam tempoh yang agak lama. Mak kerap mengesyaki sesuatu yang ghaib mengganggu hidupnya dan yang terbaru, mak tiba tiba menjerit ketakutan ketika berseorangan di bahagian dapur rumah kerana terkejut atau mungkin ternampak sesuatu di sekitar rumah ketika abah berada di dalam bilik. Kami  memang maklum tahap semangat dan keyakinan diri emak amat lemah ketika ini dan usaha terbaru dari seorang ustaz ni pula diharap mampu memberikan sinar. Kawasan sekeliling rumah kampung ini memang agak terasing dan sunyi, tetapi aku sendiri sebenarnya tidak pernah mengalami apa apa kejadian pelik di situ pada waktu malam mahupun siang sejak mula abah dan mak mendiami rumah ini. Malah aku pernah balik dari tempat kerja ke sini waktu jam 4 setengah pagi, perasaan seram tu tetap ada tetapi masih lagi dalam keadaan terkawal dan sedar tentang wujudnya makhluk selain dari kita di sekitar tempat begini sedangkan kita tidak dapat melihat ‘mereka’. Ketika entri ini  ditulis, aku sempat berbual dengan seorang kawan baik di tempat kerja yang menceritakan keadaan ayah dia yang mengalami penyakit yang sama seperti mak iaitu tidak boleh tidur malam. Ayahnya menderita penyakit itu selama 3 tahun dan menceritakan betapa  seriknya mereka adik beradik membawa ayah mereka berubat ke sana sini melalui kaedah tradisional termasuk pakar moden. Ayahnya kini telah sembuh seperti sediakala dan jawapan untuk penyakit ayahnya itu hanyalah dengan memakan ubat tidur secara teratur selama 2 tahun setelah semua usaha menemui jalan buntu. Kini ayahnya tidak lagi bergantung kepada ubat tidur dan waktu tidurnya juga telah pulih. Nasihat kawan aku katanya penyakit itu memang tiada ubat lain selain dari ubat tidur  demi membetulkan semula putaran tidur secara normal. Benda benda ghaib yang disyaki emak mungkin hanyalah perasaan semata mata kerana emak yang kekurangan tidur telah menjadi khayal di alam ciptaannya sendiri. Ini juga bertepatan dengan kata kata doktor pakar psikiatri yang aku jumpa ketika membawa emak ke Hospital Selayang dulu. Kata kawan aku lagi, ini perkara biasa yang berlaku apabila meningkat usia di mana ketika muda dahulu ibu kita juga tidak pernahnya kecukupan tidur kerana bersusah payah membesarkan kita. Justeru kita sebagai anak anak perlukan kesabaran, berdoa kepada Allah, bertawakkal dan memberi sepenuh sokongan kepada emak untuk sembuh. Wallahu’alam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...