Terima Kasih cikgu Hidayat

Cikgu mula ku kenal apabila muncul di ruangan Wall FB BapakkuFM beberapa bulan lepas ketika aku melayan DJ Isma dalam segmen Kisah Seram setiap malam jumaat di radio internet BapakkuFM dan terus meminta untuk menjadi friend. Sebaik menjadi kawan, perkara pertama yang ku tulis di Wall cikgu “adakah cikgu boleh membuang saka ibu saya? “Aku bertanya soalan sedemikian kerana di dalam Wall cikgu sering kali ditanya soalan berkaitan kebolehan cikgu sebagai pengamal perubatan alternatif. Pada ketika itu aku sedang mengusahakan emak berubat di Seremban dengan seorang pegamal perubatan Islam juga ketika arwah abah sedang terlantar sakit di rumah. Niat ku pada masa itu tak lain hanya inginkan emak lebih berkeupayaan menjaga abah sebagaimana layaknya seorang isteri menjaga seorang suami yang sedang sakit. Sebenarnya pada ketika itu aku tiba tiba digerakkan hati untuk mengetahui apa sebenarnya yang emak deritakan tatkala terpandang wajah sayu emak ketika sibuk bertanyakan kesihatan arwah abah. Sebagai seorang anak, aku tidak sampai hati untuk membiarkan keadaan emak berlanjutan begitu walau pada mata kasar ku lihat emak mampu untuk hidup seperti seorang biasa.

Pertanyaan aku tidak dijawap cikgu pada ketika itu dan pada masa yang sama aku mula meragui keikhlasan orang yang mengubati emak di Seremban. Kebetulan ketika itu juga cikgu mula kerap membuat panggilan ke konti radio, mengulas setiap kisah seram yang diceritakan pendengar setia dalam segmen Kisah Seram kendalian Isma Halil Hamzah. Setiap panggilan cikgu amat dinanti pendengar lalu DJ Isma telah mengisytiharkan cikgu antara 7 perkara ajaib berlaku di dalam radio BapakkuFM. Aku amat tertarik dengan penerangan cikgu berkaitan dunia ghaib dan misteri alam jin, malah cikgu juga sentiasa menyelit bersama dalil Al Quran dan Hadis sehingga memberi dimensi baru dalam usaha mempelajari alam yang lagi satu itu. Pada hemat aku, Allah mengirim cikgu ke pentas radio internet BapakkuFM buat masyarakat zaman ini terutama remaja untuk kembali dekat kepada ajaran Islam sebenar kerana majoriti pendengar kesemuanya anak muda belaka.

Aku memberanikan diri menegur cikgu di ruangan chat di dalam FB dan dari situlah bermula persahabatan secara lebih rapat dan seminggu kemudiannya aku dijemput bertandang ke rumah cikgu. Aku mula bercerita berkaitan dengan masalah emak yang beberapa tahun kebelakangan ini tidak begitu stabil dari segi fizikal dan emosi dan bercerita sedikit keadaan arwah abah. Aku juga bercerita tentang sessi rawatan yang telah emak lalui di Seremban dan cikgu sebenarnya sedikit kecewa dengan kaedah perubatan sesetengah pengamal perubatan dewasa ini dan memberi pandangan apa yang sudah diusahakan itu kalaupun tiada berhasil, biarlah dianggap sebagai kifarah sahaja buat diri kita. Nasihat cikgu lagi, lazimnya kita akan sentiasa diuji Allah biarpun apa yang diusahakan itu untuk kebaikan ibu dan bapa kita sendiri.

Seminggu kemudian abah pergi menyahut panggilan Illahi dan cikgu adalah antara orang pertama yang muncul di tanah perkuburan dan ikut serta membantu mengkebumikan arwah abah. Dua minggu kemudian aku bawa pula emak berjumpa dengan cikgu dan sessi yang cikgu laksanakan hanya bersembang santai persis seorang ibu dan anak malah pada dasar pandangan cikgu, tiada saka yang bermastautin di dalam diri emak. Secara ringkas kata cikgu lagi, emak sebelum ini seorang yang sangat kuat beramal dengan amalan rutin harian dan amalan tambahan yang dilakukan seperti melakuan solat dhuha dan membaca Al Quran. Lalu Allah menguji dengan menarik nikmat hambanya buat sementara untuk hambanya itu berfikir dan memahami betapa segala nikmat itu amat besar fadhilatnya bilamana emak sudah kembali pulih suatu hari nanti. Pesan cikgu lagi, tanggungjawap kita pula sebagai seorang anak ketika ini adalah melayan emak dengan baik, menghormati perasaannya, tidak berkasar, sentiasa mendekati emak dan mendengar luahannya semampu mungkin. Kita juga perlu memperbanyakkan doa kepada Allah memohon Ihsan jika ingin melihat emak kembali ceria seperti dulu.

Apapon untuk cikgu Hidayat, jelas cikgu sedang famous sekarang ini kerana BapakkuFM sedang didengari di seluruh pelusuk dunia, pon begitu cikgu ku kenal sebagai seorang yang sangat merendah diri dan aku merasa bangga kerana aku diantara pendengar BapakkuFm terawal mengunjungi cikgu di teratak indah cikgu di Batu Caves. Terima kasih sekali lagi atas sumbangan cikgu buat aku dan emak dan tidak ketinggalan sumbangan cikgu kepada masyarakat di dalam memberi penerangan dan penjelasan yang betul berkaitan dunia ghaib ketika mana dunia ini semakin hampir menemui noktahnya. Secara tak langsung, aku faham kini bahawa apabila kita semakin mengenali alam ghaib justeru semakin kita ini kembali mendekatkan diri dan hampir kepada Allah S.W.T.Wallah’ualam.

2012 Masehi

Kalendar 2011 telah berlalu. Terlalu pantas masa bergerak. Bulan berganti bulan. Hari berganti hari. Siang berganti malam. Malam berganti siang. 2011 penuh cerita, Allah berikan sebahagian nikmat Nya buatku merimpah ruah dan Allah mengambil insan paling aku sayang dari muka bumi. Aku masih berkabung kini. Ingatan masih kuat kepada arwah Abah setiap masa. Di sudut rumah, di dalam bilik, di dapur, di bilik air, di muka pintu, di kaki tangga, di parkir kereta, di mana mana saja. Aku pasti abah senantiasa ada di sisi kerana ingatan, kerinduan masih menebal di benak. Kesedihan tersekat di sudut hati, tidak terluah. Hiba menanggung sendirian. Hanya Al Fatihah menjadi ubat ronta hati ini. Ya Allah, tabahkan hati insan kerdil ini.  Aku pasrah dengan ketentuanMU ya Allah kerana itulah yang terbaik buat diri abah dan aku harus menapak meneruskan sisa hayat yang ada sehingga dipanggil..

Rumah baru abah..

 AL-FATIHAH

HAJI ABU TALIB BIN HAJJAH SILONG

4 SEPTEMBER 1939 – 6 DISEMBER 2011

Abah pergi jua setelah 6 bulan keluar dan masuk hospital. Daripada Allah Abah datang dan kepada Allah jua Abah kembali. Itu janji Allah telah tertulis di Luh Mahfuz. Semoga Abah tenang, dilimpahi Rahmat dan ditempatkan di kalangan Soleh dan Solihin di SANA. Kenangan pada hari Rabu, 30hb November tidak akan aku lupakan sehingga akhir hayatku pula kerana itulah yang terakhir aku ber’sua’ dengan Abah walaupun aku pergi menziarahi abah selepas tarikh itu.

Tangan

 

Genggaman itu tidak lagi erat, tetap sesekali ia akan mencengkam tangan ku tanda respon. Bengkak tangan ini sudah berhari hari, kesan dari kegagalan buah pinggang untuk berfungsi dengan lancar. Sel kanser sudah menyerang ke seluruh pelusuk anggota badan. Dua minggu lalu merata tulang tersembul, tetapi kini semuanya sudah kembang. Bergenang airmata apabila tangan ini ku genggam erat, ku usap dan ku renung selama beberapa ketika. Tangan ini lah 40 tahun dulu berusaha keras untuk sesuap nasi buat diriku dan adik beradik yang lain. Tangan tua ini yang berkorban jiwa raga demi kehidupan dan keselamatan keluarga. Ya Allah, Tuhan sekelian alam, izinkan aku mengenggam dan mengusapnya lagi…

Pilu hatiku..

Salam ku beri di telinga kanan dan ku kenalkan diri sebaik tiba. Mata terbuka, sekejap pejam. Kadang memandang, tetapi tidak tepat ke mata ku. Menoleh sekejap atas, tepi kanan dan kiri. Suara terdengar, tetapi tidak jelas di telingaku. Dada berombak, nafas sekejap laju sekejap perlahan. Dengusan kahak penuh di tekak. Mulut terbuka sedikit, lidah berzikir. Peluh berbintik di dahi, air mata mengalir di sudut mata. Tangan kiri cuba diangkat ke dahi, tangan kanan diletak ke dada. Ku bisik azan d telinga kanan abah, iqamah di telinga kiri. Ku bacakan surah Yasin di telinga kanan semerdu mungkin. Ku pasrah, ku redha…

Katil 27, Wad 8, HKL. 23:03pm

Terima kasih ya Allah..

 

Terima kenyataan..

Memang benar ungkapan hidup ibarat roda. Fitrah manusia dari alam roh ke alam nyata. Seorang bayi akan membesar dewasa, menginjak tua dan seterusnya kembali menjadi bayi. Menunggu saat kembali ke alam roh. Terima kenyataan itu jika Allah memberi bonus usia. Allah menguji setiap manusia itu mengikut kemampuan. Abah emak diberi sakit supaya anak anak mendapat ujian. Ujian itu memacu manusia ke arah kematangan. Perhatian anak itu wajib dikala mereka mula merasa usia sudah hampir usai. Habuan bukan satu pembalasan, tanggungjawap adalah segala galanya.  Apa yang aku lihat,  ku alami akan menjadi sejarah teladan buat pedoman. Hidup ini mesti diteruskan. Wallahu’alam.

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Older Entries »